Wednesday 19 February 2014

GEJALA VANDALISME




GEJALA VANDALISME

Kini, gejala vandalisme di negara Malaysia semakin menjadi-jadi. Gejala vandalisme ini sering dikaitkan dengan remaja. Hal ini kerana, golongan remaja ini mudah terpengaruh dengan sesuatu gejala atau budaya yang tidak sihat terutamanya gejala vandalisme. Maksud vandalisme menurut kamus dewan adalah satu bentuk jenayah di sisi moral. Sebarang perbuatan seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan harta benda awam dianggap sebagai vandalisme. Vandalisme juga dikenali sebagai gejala laku musnah iaitu tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme ini berasal daripada nama sebuah puak di Eropah yang dikenali sebagai Vandal. Kebiasaannya, gejala vandalisme ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu vandalisme ini juga merupakan satu bentuk jenayah ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap keadaan masyarakat. Motif kejadian vandalisme biasanya terletak pada aspek emosi. Vandalisme ini dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan geram atau pun cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun mereka dianggap ringan, tetapi masyarakat awam dan terutamanya kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat daripada vandalisme tersebut.



~Faktor-faktor berlakunya gejala vandalisme~

Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama berlakunya vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan komponen penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku seseorang remaja tersebut, terutamanya remaja yang tercicir dan menghadapi masalah dalam institusi keluarga mereka. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme ini merupakan remaja dalam kumpulan. Kumpulan ini tidak mempunyai tujuan dan terjebak dalam budaya lepak. Apabila mereka berkumpul timbullah pelbagai idea yang tidak baik termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkan harta benda awam tersebut.
Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang
mengamalkan budaya hidup negatif. Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.


Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.

Sikap tidak ambil peduli masyarakat juga merupakan faktor berlakunya gejala vandalisme. Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Vandalisme biasanya banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.


~Langkah-langkah~
Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun jika disabitkan kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan.


Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan kepentingan ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah juga patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam .Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Contohnya menerangkan kepada pelajar mengenai perasaan mereka sekiranya beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kesedaran seumpama itu sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab terhadap harta benda awam.


Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan yang penting dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran dalam memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa jua bentuk rancangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa. Media massa juga berperanan dalam membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.

SENARAI NILAI MORAL DAN DEFINISI



  • Kepercayaan kepada Tuhan:
Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhannya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara.
  • Amanah: 
Sikap bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain.
  • Harga Diri:
Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.
  • Bertanggungjawab:
Kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna.
  • Hemah Tinggi:
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.
  • Toleransi:
Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.
  • Berdikari:
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.
  • Kerajinan: 
Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.
  • Kasih Sayang:
Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.
  • Keadilan:
Tindakan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.
  • Rasional:
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan berasaskan pertimbangan yangwajar.
  • Kesederhanaan: 
Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain. 
  • Kasih sayang terhadap keluarga: 
Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan terhadap keluarga.

  • Hormat dan taat kepada anggota keluarga: 
Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmonis. 
  • Mengekalkan tradisi kekeluargaan:
Menerima, menghormati dan mengamalkan sesuatu kebiasaan, adat dan kepercayaan yang diwarisi secara turun temurun dalam keluarga.
  • Tanggungjawab terhadap keluarga: 
Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia,meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga. 
  • Menyayangi dan menghargai alam sekitar: 
Kesedaran tentang perlunya memelihara dan memulihara alam sekeliling untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem.

  • Keharmonian antara manusia dengan alam sekitar: 
Keadaan saling memerlukan hubungan yang harmonis antara manusia dengan alam sekeliling supaya kualiti kehidupan manusia dan alam sekeliling terpelihara. 
  • Kemapanan alam sekitar: 
Pengekalan keseimbangan alam sekeliling sebagai tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan hidup.
  • Peka terhadap isu-isu alam sekitar:
Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling dan berusaha menyelesaikannya.
  • Cinta akan Negara:   
Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan Negara melebihi kepentingan diri.
  • Taat Setia kepada Raja dan Negara: 
Kepatuhan dan kesetiaan yang berkekalan kepada Raja dan Negara.
  • Sanggup berkorban untuk Negara: 
Kerelaan melakukan atau menyerahkan sesuatu termasuk nyawa sebagai tanda kebaktian untuk Negara.

  • Melindungi hak kanak-kanak: 
Membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna.
  • Menghormati hak wanita:
Melindungi dan mengiktiraf wanita sebagai individu yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. 
  • Melindungi hak pekerja: 
Menghormati, menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan, jasa dan sumbangan golongan pekerja dalam pembangunan negara. 
  • Menghormati hak golongan kurang berupaya: 
Memberi layanan yang bersopan kepada golongan kurang berupaya supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan.
  • Melindungi hak pengguna: 
Membela dan memelihara hak individu untuk menjadi pengguna yang berilmu, mendapat perkhidmatan serta barangan yang berkualiti dan tidak mudah dieksploitasi.
  • Mematuhi peraturan dan undang-undang :
Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira sesiapa dan di manaseseorang itu berada.
  • Kebebasan bersuara: 
Kebebasan berucap dan mengeluarkan fikiran dengan batasan tertentu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman.
  • Kebebasan beragama: 
Kebebasan setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
  • Penglibatan diri dalam pembangunan Negara:
Kebebasan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan Negara dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.
  • Sikap keterbukaan: 
Bersedia memberi dan menerima pandangan, pembaharuan dan kritikan selaras dengan kebenaran fakta dan norma masyarakat Malaysia.
  • Hidup bersama secara aman: 
Hidup berbaik-baik antara satu sama lain dengan mengutamakan kedamaian dan keharmonian hidup tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. 
  • Saling membantu dan bekerjasama: 
Usaha yang baik dan membina yang dilakukan bersama pada peringkat individu, komuniti atau Negara untuk mencapai sesuatu matlamat.
  • Saling menghormati antara Negara: 
Menghargai dan memuliakan hubungan antara negara untuk menjamin kesejahteraan sejagat.